Standard Guru Malaysia
Pengenalan
Pengantar
Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti. Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
Latar Belakang
Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama di mana bina upaya adalah pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya.
Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti; yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah.
Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di pasaran kerja global.
Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami, menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan seperti petikan yang berikut:
”... as the most significant and costly resource in schools, teachers are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people want to work as teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality teaching.”
(Organization for Economic Co-operation and Development; petikan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru.
Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan peneraju utama latihan perguruan di Malaysia. BPG bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan latihan perguruan untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar di institusi pendidikan seluruh negara. Bagi menjamin guru yang dihasilkan berkualiti tinggi, tiga aspek utama ditekankan iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
Bahagian Pendidian Guru telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan standard guru sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan di Malaysia.
Rasional
Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:
- guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan,
- agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan bermutu tinggi,
- KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan, dan
- Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.
Tujuan
Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:
- mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran,
- mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.
Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.
Penggubalan
Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:
- pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik,
- Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan, dan
- proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.
Penggunaan
Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:
- Guru
- Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
- Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri
- Pendidik Guru di Institusi Latihan Perguruan
- Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard
- Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri
- Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih (guru praperkhidmatan) atau peserta kursus (guru dalam perkhidmatan)
- Mengenal pasti strategi bagi membantu guru pelatih atau peserta kursus meningkatkan tahap pencapaian standard
- Pengurus dan Pentadbir Institusi Latihan Perguruan
- Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus.
- Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh institusi.
- Mengenal pasti strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard dan keperluan.
- Guru Besar dan Pengetua Sekolah
- Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.
- Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh guru.
- Agensi Latihan Perguruan
- Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus di institusi latihan perguruan.
- Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
- Mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang boleh ditambahbaik.
Glosari
Berikut adalah penjelasan kepada istilah yang digunakan dalam dokumen Standard Guru Malaysia, Panduan Standard Guru Malaysia dan Instrumen Standard Guru Malaysia.
Guru
Tiga kategori guru yang dimaksudkan ialah guru terlatih yang sedang mengajar di sekolah, guru terlatih yang sedang mengikuti kursus dalam perkhidmatan di institusi latihan perguruan, dan guru pelatih yang sedang mengikuti kursus praperkhidmatan di institusi latihan perguruan.
Institusi Pendidikan
Sekolah atau mana-mana tempat lain, di mana dalam menjalankan kerja sesuatu organisasi atau institusi, individu lazimnya diajar, sama ada di dalam satu kelas atau lebih.
Standard
Pernyataan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru.
Keperluan
Pernyataan aspek latihan perguruan yang patut disediakan dan dilaksanakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
Bilik Darjah
Lokasi dan ruang di mana sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan, termasuk bilik kuliah, bengkel dan makmal.
Kompetensi
Kemahiran profesional guru berdasarkan amalan nilai profesionalisme, pengetahuan dan kefahaman, dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
Institusi Latihan Perguruan
Organisasi yang bertanggungjawab mereka bentuk dan melaksanakan latihan perguruan termasuklah IPG dan fakulti pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Agensi Latihan Perguruan
Organisasi yang menggubal dasar dan memantau pelaksanaan latihan perguruan seperti Kementerian Pengajian Tinggi dan BPG
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)
Institusi yang melaksanakan latihan perguruan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sekolah
Institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, sekolah teknik, sekolah pendidikan khas, sekolah vokasional.
Murid
Pelajar sekolah yang menerima pengajaran dan pembelajaran daripada guru.
Program
Susunan kursus dan isi kandungan pembelajaran yang dirancang serta direka bentuk bagi suatu tempoh tertentu untuk mencapai hasil pembelajaran seperti yang ditentukan dalam matlamat dan objektifnya. Program yang dimaksudkan akan menjurus kepada penganugerahan sesuatu kelayakan.
Kursus
Unit asas pembelajaran yang membentuk sesuatu program, mempunyai hasil khusus, kandungan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta kaedah penilaian bagi menyokong pencapaian hasil pembelajaran.
Kurikulum
Skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di institusi latihan perguruan. Kurikulum merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan, dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang pelajar dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.
Aktiviti Kokurikulum
Aktiviti persatuan atau kelab, sukan dan olahraga, serta unit beruniform yang wajib diikuti oleh semua guru pelatih yang mengikuti latihan perguruan.
Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS)
Guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ditempatkan di sekolah selama satu minggu untuk memberi peluang kepada mereka memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah.
Minggu Orientasi Sekolah (MOS)
Guru pelatih Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI SR) Jawi, Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) ditempatkan di sekolah selama satu minggu untuk memberi peluang kepada mereka memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru dan komuniti sekolah.
Praktikum
Semua guru pelatih yang mengikuti latihan perguruan di tempatkan di sekolah untuk pengalaman praktik di dalam dan di luar bilik darjah. Praktikum menyediakan peluang kepada guru pelatih mempraktikkan teori dalam amalan pengajaran dan pembelajaran serta menghasilkan teori pengajaran dan pembelajaran yang tersendiri.
Penilaian
Pengukuran berterusan yang dijalankan sepanjang tempoh kursus pengajian atau program latihan dan termasuklah apa-apa peperiksaan bertulis yang membawa markah atau gred bagi sesuatu kursus atau program latihan atau sebahagian daripadanya.
Pembangunan Profesionalisme Berterusan
Program latihan secara sistematik yang menjurus ke arah peningkatan profesionalisme dan pembangunan kerjaya serta kecemerlangan perkhidmatan.
Hasil Pembelajaran
Penguasaan guru dalam amalan nilai profesionalisme keguruan, ilmu pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
Pihak Berkepentingan
Pihak yang mempunyai kepentingan bersama secara langsung dalam konteks perkhidmatan pendidikan. Contohnya sekolah, ibu bapa, penaja, ketua perkhidmatan.
Budaya IPG
Amalan kerja warga IPG bertujuan mewujudkan identiti institusi unggul yang melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara, serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu, dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.
Infrastruktur
Kemudahan fizikal di institusi latihan perguruan bagi menyokong penterjemahan dan pelaksanaan kurikulum serta kokurikulum yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan.
Infostruktur
Pemilihan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) secara berkesan, jaringan dalaman dan luaran serta perkhidmatan pusat sumber.
Pengurusan Kualiti
Mekanisme dan kerangka kualiti semua proses aktiviti organisasi bagi menjamin kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Pendidik Guru
Merupakan individu yang bertauliah yang melatih guru di institusi latihan perguruan.
0 comments:
Post a Comment